2008-02-14

Bahaya Bahan Sediaan di Rumah Sabun dan Bahan Pencuci

KEBANYAKAN suri rumah menganggap rumah adalah tempat yang paling selamat bagi ahli keluarga mereka. Tetapi apabila diperhati di sekeliling mereka mungkin barulah mereka sedar bahawa di dalam rumah terdapat pelbagai peralatan dan bahan-bahan kegunaan harian yang mungkin boleh membahayakan ahli keluarga. Bahan-bahan seperti serbuk pencuci, sabun, racun serangga dan sebagainya antara bahan yang boleh mendatangkan padah kepada ahli keluarga terutamanya kanak-kanak. Pada dasarnya bahan-bahan ini tidak akan memudaratkan jika digunakan mengikut peraturan-peraturan yang telah ditetapkan.
Banyak kejadian keracunan bahan tersebut terutamanya yang membabitkan kanak-kanak berpunca daripada penyimpanan di tempat yang tidak sesuai ataupun akibat kecuaian ibu-bapa. Keracunan mungkin juga berpunca daripada sikap sambil lewa ahli rumah yang menganggap bahan-bahan tersebut tidak merbahaya tanpa mengetahui apakah bahan aktif yang terkandung di dalamnya.
Satu kajian mengenai kes keracunan yang telah dilaporkan di hospital mendapati satu pertiga kes keracunan berpunca daripada terminum ataupun termakan bahan sediaan yang terdapat di rumah. Lebih membimbangkan lagi 90% kes keracunan ini melibatkan kanak-kanak berumur di antara satu hingga sebelas tahun. Daripada jumlah ini lebih kurang 80% daripadanya adalah kanak-kanak yang berumur kurang dari enam tahun. Kajian ini juga telah menunjukkan bahawa sebahagian besar kejadian keracunan di rumah berlaku di tiga tempat utama iaitu dapur 50%, bilik air 20% dan bilik tidur 10%.
Kejadian keracunan seolah-olah sengaja dibenarkan berlaku, sedangkan sebahagian besar kes ini boleh dielakkan jika langkah-langkah pengawasan yang sepatutnya diambilkira. Orang ramai perlu sedar bahawa keracunan yang berlaku di rumah bukanlah semata-mata kemalangan. Oleh sebab itu orang ramai perlu diberi kesedaran mengenai bahaya bahan kimia yang sering dikaitkan dengan kes keracunan yang berlaku di rumah dan cara-cara mengendalikan kejadian keracunan bahan tersebut agar mangsa dapat diselamatkan dengan segera.
Bahan-bahan sediaan kimia yang dikenal pasti boleh menyebabkan keracunan yang teruk terbahagi kepada beberapa jenis yang utama iaitu :
• Sabun dan bahan pencuci
• Racun tikus (Rodentisid)
• Hydrocarbon seperti minyak tanah
• Cat, varnis, pencair cat
• Alat kosmetik
• Racun makhluk perosak (insektisid)
• Ubat gegat (naftalin)
• Alat-alat lukisan
Sabun dan Bahan Pencuci
Sabun dan bahan pencuci merupakan antara bahan kimia di rumah yang paling bahaya berbanding dengan bahan-bahan lain. Ini disebabkan bahan ini boleh dikatakan terdapat di setiap rumah dan biasanya kita tidak berapa mengambil peduli tentang cara penyimpanannya secara selamat. Di sampaing itu tidak ramai yang mengetahui tentang kandungan dan bahaya bahan aktif yang terdapat di dalamnya. Kajian yang dilakukan terhadap 140,000 kes keracunan di Amerika Syarikat mendapati 10% daripadanya disebabkan oleh sabun dan bahan pencuci. Ramai di kalangan mangsa menemui maut akibat tertelan bahan beracun tersebut.
Sabun merupakan bentuk garam kepada asid lemak bebas. Kebiasaannya bahan ini mempunyai ketoksikan yang rendah dan tidak mendatangkan kemudaratan sekiranya digunakan pada kulit. Di rumah sabun boleh didapati dalam bentuk pepejal atau cecair.
Bahan pencuci pula merupakan bahan yang digunakan untuk mencuci bekas atau permukaan dan tidak digunakan pada tubuh. Sediaan yang didapati biasanya dalam bentuk serbuk, cecair dan semburan. Bahan pencuci mengandungi egen aktif permukaan (surfaktan) yang membolehkan air bersentuh dengan bahan yang dicuci dan bahan tambahan seperti pelembut yang berupaya mengurangkan zat-zat logam yang mengganggu proses pencucian.
Terdapat beberapa jenis serbuk pencuci terdiri surfaktan negatif sintetik untuk menggantikan sabun-sabun biasa.
Surfaktan negatif dan tidak berion merupakan komponen utama terdapat dalam kebanyakan sabun pencuci buku, cecair pencuci pinggan mangkuk dan sesetengah pencuci pakaian. Sesetengah bahan pula mengandungi garam beralkali seperti natrium karbonat atau fosfat dan silika iaitu bahan kimia yang meningkatkan keupayaan mencuci. Fosfat telah dikenal pasti boleh menyebabkan pencemaran air dan pertumbuhan alga. Walaupun penggunaan fosfat dalam kebanyakan sabun pencuci telah diharamkan, tetapi sesetengah jenama masih lagi dicampurkan dengan bahan tersebut. Walau bagaimanapun indeks ketoksikan fosfat lebih rendah berbanding bahan-bahan pemukal lain. Sekiranya termakan bahan pencuci berfosfat akan mengakibatkan mangsa mengalami keradangan pada mukosa mulut dan muntah-muntah.
Pencuci sintetik merupakan sabun yang dihasilkan dari bahan petroleum bagi memenuhi permintaan yang tinggi terhadap sabun asli. Di antara bahan pencuci yang di hasilkan ialah pencuci benzil sulfonat berantai bercabang (Benzyl Alkyl Sulfonate - BAS). Baru-baru ini pengunaan BAS telah pun diharamkan di Malaysia.
Pencuci sintetik boleh menjejaskan kesihatan manusia melalui interaksinya dengan sel sehingga menyebabkan kematian sel. Selain dari itu pencuci sintetik berupaya mengeluarkan lapisan lelemak pada kulit. Lapisan lelemak ini berfungsi menghalang bahan-bahan toksik dari memasuki tubuh. Ini akan menyebabkan molekul pencuci sintetik bertindak pada lapisan dalaman kulit untuk membunuh lebih banyak sel. Ada laporan menyatakan bahawa organ dalaman seperti hati dan organ pembiakan juga menghadapi ancaman kerosakan yang serius akibat tindakbalas molekul pencuci sintetik ini. Pencuci sintetik juga sukar dilupuskan yang mana ini akan menyebabkan pengumpualn dan seterusnya mencemar alam sekitar. Kehadiran bahan pencuci sintetik pada kepekatan yang kecil juga boleh membunuh hidupan akuatik. Selain itu, ia juga boleh menyebabkan perubahan atau mutasi sel yang mana sel-sel mutan ini berkemungkinan berkembang dengan cepat untuk membentuk kanser.
Pencuci sintetik mengandungi bahan-bahan seperti flurescent untuk memutihkan pakaian, fosfat sebagai agen menanggalkan kotoran, silika untuk meningkatkan keupayaan mencuci dan garam beralkali seperti natrium karbonat, natrium silikat dan natrium metasilikat.
Kebanyakan bahan pencuci terdapat di pasaran tidak melabelkan kandungannya. Ini menyukarkan pengguna membezakan antara pencuci asli dan pencuci sintetik.
1. Sediakan bahan pencuci yang hendak dikenal pasti, air, bekas lutsinar dan cuka (asid asitik).
2. Campurkan sedikit bahan pencuci ke dalam bekas lutsinar mengandungi air. Biarkan sehingga campuran tersebut larut seketika.
3. Campurkan sedikit cuka ke dalam bekas tersebut.
4. Hasil yang akan didapati adalah seperti berikut:
o jika sabun asli - tiada buih dan air menjadi keruh.
o jika sabun pencuci sintetik - ada buih dan air kelihatan jernih.
o jika campuran pencuci sintetik dan sabun asli - berbuih dan air menjadi keruh.
Terdapat satu cara mudah untuk mengenal pasti pencuci asli iaitu seperti langkah-langkah di atas
Di antara bahan pencuci di rumah yang mempunyai risiko keracunan teruk ialah bahan peluntur, bahan pencuci, cermin kereta, pembunuh kuman, pencuci kerak cerek air dan pencuci pinggan mangkuk automatik.
Bahan peluntur dikenali sebagai egen menghakis dan mengandungi bahan aktif natrium hipoklorit pada kepekatan 5%. Bahan ini tidak menunjukkan sifat terlalu beralkali dan mangsa yang terminum bahan ini kebiasaannya hanya perlu meminum segelas susu. Namun begitu keradangan mulut dan esofagus mungkin berlaku jika termakan dengan kuantiti yang banyak. Peluntur dalam bentuk serbuk mempunyai komposisi lebih pekat oleh itu keradangan yang lebih teruk akan berlaku jika termakan. Percampuran bahan peluntur dengan bahan-bahan pencuci lain boleh mengakibatkan kesan yang lebih teruk. Bahan peluntur yang dicampurkan dengan bahan pencuci tandas yang berasid kuat akan menghasilkan klorin manakala campuran bahan peluntur dengan ammonia akan menghasilkan gas kloramin. Kedua-dua gas ini amat toksik pada selaput mukosa terutamanya pada saluran pernafasan.
Bahan pencuci cermin kereta mengandungi metil alkohol (metanol) pada kepekatan tinggi. Bahan ini berupaya membersih dan menghalang pembekuan. Metanol dimetabolismakan kepada metabolit toksik yang boleh mengakibatkan kerosakan sistemik serius. Mata boleh menjadi buta dengan hanya meminum lima hingga sepuluh mililiter bahan ini.
Pembunuh kuman biasanya mengandungi bahan kimia fenol manakala pencuci longkang dan ketuhar adalah bahan berbes yang terdiri dari ammonia pada kepekatan melebihi 10% dan hidrogen peroksida atau natrium peroksida. Pencuci tandas biasanya mengandungi bahan aktif berasid yang menghakis.
Pencuci kerak cerek air dan pencuci pinggan mangkuk automatik pula mengandungi bahan kimia yang sama dan boleh mengakibatkan kesan radang kepada mangsa. Pencuci mesin basuh juga boleh menyebabkan keracunan. Kebanyakan pencuci mesin basuh diketahui mengandungi garam beralkali seperti natrium karbonat, natrium silikat dan natrium metasilikat yang boleh mengakibatkan keradangan yang teruk jika terkena mata.
Rawatan
Mangsa yang tertelan sabun akan mengalami rasa mual dan mungkin muntah-muntah selepas beberapa minit. Biasanya kesan ini boleh berlanjutan sehingga 24 jam. Mulut, esofagus dan perut mangsa akan menunjukkan keadaan seperti terbakar. Mangsa perlu diberi minum susu atau sekurang-kurangnya air biasa dengan banyaknya bagi mencairkan isi perut. Jika banyak sabun cecair yang ditelan (di antara 30-50gm) boleh mengakibatkan keradangan pada mukosa mulut, muntah-muntah dan cirit-birit.
Jika terkena mata akan menyebabkan mata menjadi merah dan rasa pedih. Mata perlu dicelupkan ke dalam air dan kelip-kelipkan mata selama beberapa ketika atau sekurang-kurangnya alirkan air kepada mata selama 10-15 minit sebelum diberi rawatan perubatan.
• Gunakan bekas yang tidak boleh dibuka oleh kanak-kanak.
• Simpan bahan dalam bekas asal.
• Jangan sekali-kali gunakan bekas bahan-bahan kimia ini sebagai bekas makanan kerana ini akan mengelirukan kanak-kanak.
• Simpan makanan, bahan kimia dan ubat-ubatan di tempat berasingan.
• Pastikan almari atau bekas simpanan mempunyai penutup dan berkunci.
• Beli pencuci dan bahan lain dalam kuantiti kecil yang mencukupi untuk sesuatu tugas. Seboleh mungkin dapatkan barang yang paling tidak merbahaya.
• Simpan semua bahan kimia, pencuci dan ubat-ubatan di tempat yang tidak boleh dicapai dan dilihat oleh kanak-kanak.
Langkah-langkah mencegah keracunan bahan sediaan kimia di rumah
Bantuan awal kepada mangsa keracunan bahan kimia di rumah adalah penting untuk menyelamatkan mangsa.
• Jika mangsa muntah-muntah dalam jangkamasa yang panjang, sakit perut yang teruk dan tidak berupaya menelan apa-apa, bawa mangsa segera berjumpa doktor.
• Tentukan bila masa mangsa tertelan bahan tersebut.
• Sekiranya kulit atau mata mangsa terkena bahan tersebut, cuci dengan air dan sabun selama 10-15 minit.
• Jika mangsa berupaya menelan, beri minum air atau susu supaya kepekatan kandungan bahan di dalam perut dapat dikurangkan. Kanak-kanak disyorkan meminum kurang daripada 60ml (1 cawan) dan orang dewasa pula kurang daripada 150ml (2.5 cawan).
Beberapa panduan bagi membantu mangsa keracunan bahan kimia
Bahan-bahan kimia yang dinyatakan sememangnya telah menjadi satu keperluan di rumah. Jadi tidak dapat tidak, kita terpaksa menyimpannya di rumah, walaupun kita mengetahui bahaya yang bakal timbul. Oleh itu kaedah pengunaan dan penyimpanan yang baik perlu dititik beratkan oleh ibu bapa bagi memastikan bahan-bahan tersebut tidak terdedah dan menarik minat kanak-kanak untuk mencuba. Cegahlah ahli keluarga terutama kanak-kanak daripada mengalami keracunan di rumah sendiri. Jadikan rumah sebagai tempat paling selamat untuk seluruh ahli keluarga.

Comments :

1

Tengkiu Min artikelnya menambah wawasan saya nih ditunggu artikel berikutnya

jaket said...
on 

Post a Comment

Informasi Pilihan Identitas:
Google/Blogger : Khusus yang punya Account Blogger.
Lainnya : Jika tidak punya account blogger namun punya alamat Blog atau Website.
Anonim : Jika tidak ingin mempublikasikan profile anda (tidak disarankan).