Yudhi'm Blog

Blog yang berisi berbagai macam tulisan & tutorial umum. Enjoy the blog here!!!

Banner Iklan1

Banner Iklan1
Sudahkah keluarga Anda terlindungi?

Banner Iklan

Banner Iklan
970x90

Ubat yang Digunakan dalam Penyakit Taun

Dr Mohamad Isa Abdul Majid
Penyakit taun atau kolera yang berlaku baru-baru ini, bermula di Pulau Pinang, merupakan penyakit yang tertumpu pada saluran penghadaman akibat dari jangkitan bakteria (kuman), Vibrio cholera. Penyakit ini berlaku apabila kuman taun dari pesakit atau pembawa menjangkiti individu sihat melalui mulut. Salah satu punca bagaimana kuman taun boleh tersebar ialah melalui pengambilan makanan dari persekitaran yang kotor dan tidak terurus. Ini termasuk mengambil makanan yang telah dicemari oleh kuman taun seperti makanan yang tidak dimasak dan dimakan sejuk. Selain ini, lalat dan air minuman yang dicemari oleh najis boleh menyebarkan kuman taun kepada individu sihat lain. Tempoh bagi kuman taun merebak dalam badan seseorang sehingga menunjukkan tanda adalah dalam masa lima hingga enam hari.

TANDA-TANDA JANGKITAN
Cirit-birit berterusan serta muntah yang teruk. Najis cair dan berwarna. Kejadian cirit-birit adalah disebabkan oleh pengeluaran racun atau toksin oleh Vibrio cholera semasa di usus yang menyebabkan air badan keluar memasuki saloran usus. Selepas beberapa jam, otot penghidap akan mengalami kekejangan terutama di pergelangan kaki dan perut kerana kehilangan garam sodium. Penghidap akan mengalami kejutan dan boleh pengsan. Tekanan darah menurun, nadi lemah, lidah kering dan mata cengkung. Mengalami masalah membuang air kerana kehilangan air yang banyak. Pada peringkat ketiga, jika cirit-birit dan muntah berhenti, tekanan darah akan meningkat kepada biasa dan penghidap pulih. Jika tidak suhu badan akan meningkat, peningkatan suhu badan secara mendadak mungkin berlaku dan penghidap akan koma dan mungkin maut.

RAWATAN PENYAKIT TAUN Rawatan Kehilangan Bendalir dan Elektrolit Dalam jangkitan taun, pesakit akan diberikan gantian bendalir dan elektrolit yang hilang. Dalam kes yang tidak serius, kedua-dua bendalir dan elektrolit diberikan melalui saluran mulut sedangkan pemberian secara suntikan akan dilakukan ke atas pesakit yang mengalami muntah-muntah dan cirit-birit yang serius atau dehidrasi yang teruk ataupun. mengalami kejutan akibat kehilangan air badan sehingga berat badan menyusut 10%. Untuk pemberian melalui mulut, larutan garam rehidrasi (oral rehydration solution, ORS) akan menggantikan semula elektrolit yang hilang. Untuk suntikan pula larutan laktat Ringer atau larutan natrium klorida 0.9% (jika ketiadaan larutan laktat) diberikan sehingga keseimbangan bendalir badan dicapai. Rawatan Ubat Selain menggantikan bendalir dan elektrolit badan yang hilang, ubat antibiotik atau antimikrob digunakan untuk merawat pesakit taun. Kegunaan ubat ini adalah untuk mengurangkan kejadian cirit-birit dan isipadu larutan suntikan yang diperlukan oleh seseorang pesakit di samping mengurangkan perlepasan kuman taun selanjutnya yang boleh menjangkiti individu lain. Antibiotik yang seringkali digunakan dalam merawat jangkitan ialah kumpulan tetrasiklin sebagai pilihan utama manakala trimetofrim-sulfametokasazol, eritromisin, kloramfenikol dan furazolidon juga digunakan sebagai alternatif dalam kes-kes kuman penyakit telah rintang kepada antibiotik pilihan utama. Dalam kumpulan tetrasiklin, doksisiklin merupakan ubat yang seringkali digunakan untuk merawat jangkitan taun. Pesakit dewasa akan diberikan dos tunggal doksisiklin sebanyak 300 mg atau tetrasiklin dalam julat 250-500 mg empat kali sehari selama 5 hari. Ubat kumpulan tetrasiklin tidak boleh diambil bersama dengan susu dan hasilan tenusu lain disebabkan bahan tersebut akan mengurangkan tindakan ubat tersebut. Pantang larang yang perlu dipatuhi ialah pesakit tidak mempunyai sejarah tindakbalas alahan kepada ubat ini. Ia juga tidak sesuai untuk kanak-kanak di bawah umur 8 tahun. Bagi pesakit wanita dan ibu pula, mereka mestilah tidak mengandung dan tidak menyusukan anak. Dalam kes ibu mengandung atau sedang menyusui bayi serta kanak-kanak, kumpulan tetrasiklin cenderung terkumpul di dalam tulang dan berupaya menyebabkan gigi bayi dan kanak-kanak berubah warna kepada kekuningan serta pertumbuhan tulang dan gigi kanak-kanak menjadi lambat. Sebagai langkah waspada kepada kesan sampingan yang mungkin timbul semasa penggunaan ubat ini pesakit atau perawat hendaklah sentiasa meneliti kesan-kesan sampingan yang seringkali terjadi semasa penggunaan ubat tetrasiklin seperti tersenarai di bawah: Kulit menjadi lebih sensitif apabila terkena sinaran matahari. Pendedahan kepada sinaran matahari walaupun sekejap boleh menghasilkan kerengsaan kulit, kegatalan, kulit menjadi merah dan kulit mengelupas (sunburn). Kekejangan otot perut, cirit-birit, rasa mual dan muntah. Kesakitan pada bahagian perut, umbun-umbun bengkak pada bayi, sakit kepala, hilang selera makan, warna kulit kekuning-kuningan dan perubahan deria penglihatan. Oleh sebab tetrasiklin tidak boleh diberikan kepada kanak-kanak di bawah umur 8 tahun, maka pesakit kanak-kanak akan diberikan kombinasi 5 mg/kg trimetofrim dan 25 mg/kg sulfametoksazol dua kali sehari selama 3 hari. Kesan sampingan yang sering diperhatikan untuk ubat ini ialah cirit-birit, sakit kepala, hilang selera makan, gatal kulit, sakit pada sendi otot, kesusahan menelan makanan, sakit tekak dan demam di samping pengguna mengadu sentiasa letih.

PANDUAN UNTUK MENGELAKKAN JANGKITAN
Minum air yang di masak. Suhu air mendidih akan membunuh bakteria. Gunakan air bersih seperti air paip atau telaga yang dibubuh klorin untuk kegunaan harian seperti membasuh pinggan mangkuk, makanan segar, menggosok gigi dan mengambil wuduk. Ambil makanan panas dan elakkan makanan sejuk seperti ais, ais krim, air batu campur kerana bakteria taun mudah membiak dalam sejuk. Pastikan persekitaran rumah bersih. Musnahkan semua tempat pembiakan lalat dan makanan hendaklah ditutup. Sayur-sayuran dan buah-buahan segar hendaklah dicuci dengan sempurna menggunakan air bersih. Hendaklah sentiasa mencuci tangan dengan sabun dan air bersih sebelum menjamah makanan dan selepas ke tandas. Jika ingin makan luar, lihat persekitaran gerai itu terlebih dahulu. Bagaimanapun, langkah lebih bijak dengan menghentikan pengambilan makanan di gerai makanan buat sementara waktu. Jika ada ahli keluarga yang telah mendapat penyakit taun, pastikan bahawa ahli keluarga lain telah diberikan maklumat tentang tatacara pembersihan semasa buang air besar dan penjagaan kebersihan tempat tinggal yang dapat mengelakkan ahli keluarga lain dari dijangkiti penyakit tersebut. Segala pakaian dan barangan kegunaan pesakit harus dicuci dengan sabun dan larutan pemutih Klorox untuk membasmi kuman taun. Dapatkan ubat antibiotik yang diberi oleh pihak hospital atau Jabatan Kesihatan untuk dimakan oleh ahli keluarga yang sihat. Vaksin taun telah tidak disyorkan dalam melindung individu sihat dari dijangkiti oleh penyakit taun. Bawa pesakit yang mengalami muntah dan cirit-birit ke hospital dengan segera.
Bagikan :
+
Previous
Next Post »
1 Komentar untuk "Ubat yang Digunakan dalam Penyakit Taun"

terimakasih atas informasinya...

Informasi Pilihan Identitas:
Google/Blogger : Khusus yang punya Account Blogger.
Lainnya : Jika tidak punya account blogger namun punya alamat Blog atau Website.
Anonim : Jika tidak ingin mempublikasikan profile anda (tidak disarankan).

 
Template By Kunci Dunia
Back To Top